Selangorkini
EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor jual ayam, daging bawah harga kawalan 22 – 23 Mei

SHAH ALAM, 21 MEI: Pasar Agro Selangor (SAM) menawarkan jualan ayam dan daging segar di bawah harga kawalan bermula esok sehingga Sabtu sempena sambutan Aidilfitri, kata EXCO Industri Asas Tani.

Ir Izham Hashim berkata harga sekilogram ayam ditawarkan ialah RM7.20 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.50 sekilogram, sementara daging segar dijual RM33.50 (harga kawalan RM34 sekilogram).

“Antara lokasi jualan ialah Tapak Pasar Tani Saujana Utama, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya SS6, Pusat Operasi Fama Dengkil dan Pusat Operasi Fama Puchong.

“Kesemua tapak jualan ini dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang, dan pelanggan boleh membeli barangan ini secara pandu lalu sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata jualan istimewa itu dilaksanakan khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang mentah bermutu dengan harga berpatutan.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat. Untuk rujukan, orang ramai boleh layari laman Facebook Agro Selangor atau Facebook Izham Hashim,” katanya.


Pengarang :