Seorang wanita berdiri berhampiran pagar kawat berduri yang dipasang di kawasan Pasar Jalan Othman hari ini. Kawasan itu menjadi kawasan terbaharu yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa mulai hari ini hingga 23 Mei. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Banyak kes dikesan melalui aktiviti pendekatan tertumpu

SHAH ALAM, 10 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan kumpulan sasar melalui pendekatan tertumpu yang dijalankan setakat ini, kata ketua pengarahnya.

Justeru Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata masyarakat tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes baharu Covid-19 memandangkan pelaksanaan aktiviti itu menunjukkan impak positif dalam mengesan lebih banyak kes.

“Kumpulan sasar ini melibatkan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka, pelajar serta kakitangan madrasah dan tahfiz yang berkait rapat dengan perhimpunan tersebut serta rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat kuarantin.

“Selain itu, ia membabitkan anggota kesihatan KKM, penduduk di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan pasar yang berkait rapat dengan PBKL termasuk pekerja asing tapak pembinaan di zon merah dan rumah jagaan warga emas,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kes yang dikesan akan diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan pandemik itu tidak terus menular dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 67 kes baharu dikesan hari ini dengan 49 kes membabitkan warga asing menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,656 kes.

Sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1 ,523 kes dan mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan.


Pengarang :