(Dari kiri) Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (PRM) pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Perikatan Nasional enggan ulas pertikaian sijil akademik

SHAH ALAM, 27 APRIL: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu enggan mengulas berhubung kelulusan akademiknya yang dipertikai orang ramai.

Cuba mengelak isu itu, Khairul Azhari Saut, 54, hanya berkata beliau mahu memberi perhatian kempen pilihan raya kecil (PRK), yang bermula hari ini.

“Saya tidak mahu komen, saya fokus pada pilihan raya. Saya jawab kemudian,” katanya ketika disoal media selepas penamaan calon.

Selepas PN mengumum namanya dua hari lalu, poster biodata beliau mencetus tanda tanya, terutama mengenai latar belakang pendidikan.

Berdasarkan maklumat tertera, beliau memperoleh diploma eksekutif pengurusan pada 2019, kemudian ijazah sarjana eksekutif pengurusan perniagaan dua tahun kemudian tanpa maklumat ijazah sarjana muda.

Dalam pertandingan empat penjuru, Khairul Azhari dicabar calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao, yang menggunakan logo Pakatan Harapan, Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi, terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK ini pada 11 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

 


Pengarang :