AGENSISELANGOR

Kaunter khidmat pelanggan Air Selangor dibuka mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Semua kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor kembali dibuka pada 4 Mei ini dengan waktu operasi bermula 9 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Jumaat sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata pihaknya sudah bersedia dengan langkah pencegahan penularan Covid-19 termasuk memastikan jarak sosial, saringan suhu badan pelanggan dan penyediaan cecair pembasmi kuman.

“Air Selangor juga memberi jaminan hanya kakitangan yang sihat dibenarkan bertugas dan berurusan dengan pelanggan selain memastikan mereka memakai penutup hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Air Selangor juga menyediakan kemudahan ‘drop box’ bagi penyerahan dokumen dan cek di kaunter khidmat pelanggan.

Bagi mengelak kesesakan dan mengurangkan kontak rapat antara pelanggan dan petugas, Air Selangor mengalakkan pelanggan membuat pembayaran secara dalam talian melalui Jompay (Biller Code: 4200), aplikasi Air Selangor yang dimuat turun di App Store atau Google Play Store, portal Perkhidmatan Pelanggan Air Selangor atau ejen kutipan berdaftar Air Selangor.

“Perkhidmatan selain pembayaran, seperti permohonan pertukaran hak milik, pelanggan digalakkan untuk mengimbas borang permohonan dan menghantar borang tersebut melalui e-mel di [email protected].,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selaras dengan kebenaran beroperasi bagi sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial, mulai Isnin ini.

– BERNAMA


Pengarang :