AGENSISELANGOR

Kemalangan lori tangki punca LPA Sungai Selisik dihenti tugas

SHAH ALAM, 28 MEI: Kemalangan lori tangki minyak diesel di Kilometer (km) 389.5 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah hari semalam menyebabkan Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Selisik dihenti tugas malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) memaklumkan pelanggaran dengan van keselamatan itu mengakibatkan tangki lori pecah menyebabkan minyak tumpah di kawasan lebuh raya hingga Sungai Siah, Perak.

“Operasi LPA Sungai Selisik dihentikan jam 11.45 malam tadi. Kerja penyedutan sisa minyak terpaksa dihentikan sementara sekitar 4.50 pagi berikutan keadaan gelap dan pembersihan sukar dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Luas berkata susulan insiden itu pihaknya mengaktifkan kod kuning Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi membolehkan siasatan menyeluruh di kawasan terlibat iaitu pada jarak 2.7 km di bahagian hilir selain pemasangan perangkap minyak di bahagian aliran terjejas bagi mengawal aliran mengalir ke Sungai Bernam.

“Luas bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menjalankan persampelan dan siasatan berkaitan bermula dari ladang kelapa sawit berhampiran lokasi sehingga ke Sungai Kelawar dan Sungai Bernam di daerah Hulu Selangor manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak melantik kontraktor bagi menyedut baki minyak di kawasan bertakung,” katanya.

Kemalangan berhampiran Behrang itu mengakibatkan seorang maut manakala dua lagi cedera selain kesesakan teruk di kedua-dua arah.


Pengarang :