Pengunjung Pasaraya Hero, Shah Alam beratur mengikut penjarakan sosial satu meter sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar raya itu pada 22 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri boleh sesuaikan SOP Pusat PKP Bersyarat

SHAH ALAM, 3 MEI: Setiap Kerajaan Negeri boleh menyesuaikan tatacara operasi piawai (SOP) Kerajaan Persekutuan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri masing-masing.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dihadiri semua ketua menteri dan menteri besar, minggu lalu.

“Kita (Kerajaan Persekutuan) keluarkan panduan am (PKPB) seluruh negara dan telah bersetuju negeri boleh menyesuaikan SOP dengan situasi di negeri atau daerah masing-masing.

“Sebagai contoh restoran dibuka hingga 10 malam dan di Bera, Pahang misalnya jam 10 malam orang sudah tak keluar rumah, jadi kalau nak buka setakat 8 malam kita benarkan, boleh sesuaikan dengan negeri masing-masing.

“Pada masa sama ia mesti dalam ruang lingkup SOP yang kita umumkan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Setakat ini, Kedah, Sabah dan Sarawak mengumumkan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 12 Mei dan tidak mengikut Kerajaan Pusat memberi kelonggaran melalui PKPB, manakala Kerajaan Selangor menyatakan tidak semua industri dibenar beroperasi esok.

Ditanya adakah kerajaan akan melaksanakan semula PKP jika kes positif Covid-19 kembali meningkat, Ismail Sabri berkata hanya lokaliti yang dikesan berlaku kes positif wabak itu akan ditutup.

“Kita kenalpasti berdasarkan lokaliti, jika ada kes positif Covid-19 di sesuatu lokaliti, kita akan tutup kawasan tersebut, tidak di seluruh negara.

“Walaupun kita buka (sektor ekonomi) tetapi masih tertakluk kepada SOP, kalau langgar SOP, kita akan tutup premis, begitu juga jika seorang sahaja positif, seluruh premis kita tutup,” katanya.


Pengarang :