BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kes denggi di Selangor meningkat 798, satu kematian

SHAH ALAM, 29 MEI: Sebanyak 798 kes denggi dicatatkan di Selangor dengan satu kematian bagi minggu epidemik ke-21 iaitu pada 17 hingga 23 Mei, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah mingguan itu meningkat 23.9 peratus berbanding minggu epidemik ke-20 hanya 644 kes.

Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Terdapat satu kematian dilaporkan pada minggu epidemik ke-21/2020 menjadikan kumulatif kematian sebanyak 28 kes, peningkatan 3.7 peratus berbanding pada minggu epidemik sama tahun lalu 27 kes,” kata beliau di Facebook.

Siti Mariah memberitahu, demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

“Demam denggi berdarah mempunyai tanda seperti demam denggi biasa tetapi mempunyai kesan lebam, pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi serta ia boleh diikuti dengan pendarahan di seluruh badan yang akhirnya boleh membawa maut,” jelas beliau.

Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala demam denggi perlu mendapatkan rawatan segera.

Siti Mariah turut mengingatkan penduduk Selangor, dalam usaha mencegah Covid-19, mereka juga harus mengamalkan langkah pencegahan denggi seperti memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk, membuang bekas takungan air dan menggunakan semburan.


Pengarang :