Dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jam 9.30 pagi, 23 April 2024. Foto Facebook KPKT Malaysia
AGENDANASIONAL

Khidmat helikopter Fennec, HOM-AW139 tidak digantung, bangkai dua pesawat sudah dialihkan

KUALA TERENGGANU, 27 APRIL: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan setakat ini tidak bercadang menggantung sementara perkhidmatan helikopter jenis Fennec dan HOM-AW139.

“Setakat ini tidak ke arah itu (gantung sementara),” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menyempurnakan program Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Dusun Tembakau di Manir, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat keperluan untuk menggantung perkhidmatan kedua-dua jenis helikopter itu susulan nahas pada pagi Selasa yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6).

Kejadian yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Kesemua yang terkorban disemadikan dengan jasad terakhir, Leftenan T Sivasutan, 31, selamat menjalani upacara pembakaran di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram di Sitiawan 12.15 tengah hari, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengesahkan bangkai dua pesawat berkenaan termasuk kotak hitam sudah dialihkan dari lokasi kejadian pada Khamis.

“Saya dimaklumkan semuanya telah dialihkan untuk ke tempat siasatan dibuat,” katanya.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan Lembaga Siasatan ditubuhkan TLDM itu, akan melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan pakar lain termasuk pembuat helikopter.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan proses itu akan melibatkan pakar dari luar negara sekiranya terdapat keperluan.

– BERNAMA

 


Pengarang :