Anggota polis termasuk Pasukan Penggempur Ringan (LSF) memantau keselamatan sekitar kawasan penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada 27 April 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Proses penamaan calon PRK KKB lancar, semua patuhi peraturan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, 284 pegawai dan anggota polis digerakkan dengan dibantu 15 kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Polis Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang bertanding kerana memberikan kerjasama serta mematuhi peraturan ditetapkan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Diharap kerjasama yang diberikan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sehingga ke hari pengundian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini bermula 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Kerajaan Perpaduan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

SPR menetapkan hari pengundian 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

– BERNAMA


Pengarang :