Dua pekerja menyusun guni tepung gandum di gudang penyimpan di George Town, Pulau Pinang pada 23 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Tiada tepung di pasaran tempatan lebihi paras benzoil peroksida dibenarkan

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Tiada mana-mana jenama tepung di pasaran tempatan mengandungi benzoil peroksida melebihi paras dibenarkan di bawah undang-undang, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai bahan penyesuai makanan di bawah aditif makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50 miligram/kilogram (mg/kg).

“Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC) iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Program Standard Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 60 mg/kg.

“Dalam hal ini, penggunaan benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan dalam jumlah tertentu di Malaysia dan luar negara oleh badan penilai antarabangsa iaitu Jawatankuasa Pakar Mengenai Bahan Tambah Makanan (JECFA),” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, pihaknya mengambil maklum isu yang ditularkan semula di media sosial berkaitan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan.

Perkara tersebut menurut kementerian itu telah dijelaskan dalam dua kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini iaitu pada 2012 dan 2017 bagi mengelakkan kekeliruan awam.

Kenyataan itu turut menyebut KKM sentiasa bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti saintifik terkini daripada badan antarabangsa seperi Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

KKM juga sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran bagi memastikan kandungan benzoil peroksida dalam kadar dibenarkan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, jabatan kesihatan negeri terdekat atau melayari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan,” menurut KKM.

– BERNAMA


Pengarang :