Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM pada 29 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kesan positif PKP, tahap boleh jangkit Covid-19 turun

SHAH ALAM, 13 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan nilai ‘R naught’ (R) atau kebolehjangkitan virus Covid-19 menurun kepada 0.3 ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penurunan itu susulan impak positif tindakan kerajaan dan dibantu dengan pematuhan masyarakat berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu nilai R berada pada tahap 3.5.

“Nilai R yang makin kurang daripada satu secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata ia boleh meningkat semula jika masyarakat leka tanpa mengamalkan langkah pencegahan seterusnya menyebabkan PKP dilaksanakan kembali.

“Jika naik (R) kepada 1.6, kita dalam amaran bahaya dan kes akan mendadak.

“Kita jangkakan ini akan berlaku pada pertengahan Jun jika orang ramai gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan sepanjang sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.


Pengarang :