AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB gembira guru ambil insiatif mengajar dalam talian

SHAH ALAM, 16 MEI: Dato’ Seri Amirudin Shari gembira melihat inisiatif guru yang memulakan transisi pengajaran dalam talian atau e-pembelajaran sejak penularan Covid-19 hingga menyebabkan aktiviti pendidikan secara manual dihentikan.

Dato’ Menteri Besar berkata sektor pendidikan menerima kesan paling besar terutama kerjaya guru yang mendesak masyarakat menyesuaikan diri kepada kebiasaan baharu dan Kerajaan Negeri tampil memperkenalkan sistem pembelajaran digital secara dalam talian.

“Kita telah melancarkan landasan e-pembelajaran melalui selangortutor.com untuk membantu pelajar terus mengembangkan ilmu dengan kebiasaan baharu. Usaha ini tidak mungkin berjaya tanpa bantuan dan pimpinan guru di Selangor.

“Bagi saya, walaupun Covid-19 dilihat sebagai titik sejarah yang getir, waktu ini juga harus dijadikan peluang yang direbut untuk mempercepatkan transisi sektor pendidikan ke arah digitalisasi,” katanya dalam Perutusan Hari Guru 2020 hari ini.

Beliau berkata, tenaga pengajar di Selangor juga perlu memainkan peranan penting supaya pelajar bersedia menghadapi cabaran industri pada masa akan datang di samping terus merancakkan perkembangan digital.

Selain itu, katanya, aspek pemahaman yang lebih mendalam berkenaan masyarakat dan budaya amat penting bagi menghargai kemajuan tamadun serta membuka ruang solusi seperti kesihatan mental dan psikologi.

“Kita sudahpun melihat aktiviti harian seperti jual-beli makanan dan barangan runcit dijalankan melalui aplikasi telefon pintar.

“Usaha ini dapat meneruskan perkembangan ekonomi sambil memelihara kesihatan semua. Namun, industri pendidikan tidak harus ketinggalan,” katanya.


Pengarang :