Seorang penduduk menerima barangan keperluan harian daripada ahli keluarganya melalui dawai kawad berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Selayang pada 29 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
SELANGOR

MB: Kluster Covid-19 Pasar Borong KL di pasar Selangor terkawal

SHAH ALAM, 9 MEI: Selangor sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memutuskan rantaian Covid-19 kluster Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikesan di dua pasar di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana kes penularan wabak tersebut di Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Taman Megah, Petaling Jaya adalah terkawal.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan Covid-19 di semua pasar awam di negeri ini.

“Namun usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 terletak di tangan setiap rakyat, kena teruskan penjarakan sosial dan patuh tatacara operasi piawai (SOP),” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada Petugas Barisan Hadapan dan Pusat Kuarantin Covid-19 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar.

Selasa lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata sebanyak 24 kes Covid-19 daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan di dua pasar di Petaling Jaya, Selangor

Sebanyak 23 kes direkodkan di Pasar Besar Jalan Othman dan satu kes di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya.

Berikutan itu kelmarin, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengadakan pemeriksaan dan persampelan Covid-19 sesi terakhir untuk peniaga dan pekerja di Pasar Besar Jalan Othman.

Pada 27 April lalu Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Awam Taman Megah di Petaling Jaya turut ditutup untuk proses nyahkuman.


Pengarang :