Haniza Talha dan Shukri Mohamad Hamin ketika melawat penanaman cili padi di bawah Projek Laman Hijau Strata 2.0 di Pangsapuri Sri Bakawali, Hulu Selangor pada 16 Mei 2020. Foto ihsan MDHS
PBTSELANGOR

MDHS pilih dua pangsapuri sertai projek Laman Hijau Strata 2.0

SHAH ALAM, 18 MEI: Pangsapuri Sri Bakawali dan Pangsapuri Seri Semarak dipilih Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi menyertai projek Laman Hijau Strata 2.0, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata tujuan projek itu bagi menggalakkan penduduk menanam dan menjual hasil pertanian bagi menampung kos penyelenggaraan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Pangsapuri Sri Bakawali dipilih untuk penanaman cili padi manakala Pangsapuri Seri Semarak menanam pokok pisang. Pemilihan tanaman atas cadangan Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

“Kedua-dua hasil pertanian ini boleh dipasarkan secara komersial atau dijadikan pelbagai produk industri kecil sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, projek di bawah pembiayaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) itu turut mendapat sokongan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Haniza dalam kenyataan berkata beliau berharap projek ini mampu menjadi ikutan pangsapuri lain di negeri ini.

Difahamkan, projek itu akan diselenggara penduduk pangsapuri berkenaan yang membabitkan sukarelawan dan suri rumah.


Pengarang :