Sebahagian penyewa dan pekerja Pasar Awam MPS Selayang Baru menjalani saringan Covid-19 di Dewan Seroja, Kampung Bendahara, Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS: Penyewa, pekerja pasar awam jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 11 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mewajibkan semua penyewa dan pekerja di enam pasar awam seliaannya menjalani saringan Covid-19 bagi mengelak penularan wabak itu terutama dalam kalangan warga asing.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata ia juga bertujuan memastikan keselamatan pelanggan yang berkunjung ke semua pasar awam terbabit.

“Proses saringan pertama sudah dilaksanakan melibatkan semua penyewa dan pekerja di Pasar Awam MPS Selayang Baru pada 8 Mei lalu meliputi 413 individu di Dewan Seroja, Kampung Bendahara.

“Saringan bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari ini mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata saringan akan diteruskan kepada semua penyewa dan pekerja awam lain membabitkan kira-kira 820 individu di Pasar Awam Moden MPS Rawang, Pasar Awam Moden MPS Sri Gombak, Pasar Awam MPS Taman Ehsan, Pasar Awam MPS Bandar Country Homes dan Pasar Awam MPS Batu Arang.


Pengarang :