Petugas perubatan melakukan saringan Covid-19 melalui kaedah pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ujian darah tidak boleh kesan jangkitan Covid-19 – KKM

SHAH ALAM, 11 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyarankan penggunaan kit ujian pantas (RTK) antibodi di klinik swasta ke atas pekerja untuk kembali bertugas, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian bagi mengesan Covid-19 adalah berasaskan antigen iaitu melalui ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) atau ujian RTK antigen.

”Kedua-dua ujian ini memerlukan pengambilan swab nasofarinks (NPS) oleh anggota terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet (BSC),” katanya katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata ujian serologi RTK antibodi menggunakan sampel darah dari hujung jari tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa.

“Keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tersebut tidak dijangkiti Covid-19. Bagaimanapun, ujian RTK antibodi boleh digunakan bagi pelaksanaan kajian prevalen jangkitan dalam masyarakat atau kumpulan sasar (seperti kumpulan pekerja).

“Ini selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana RTK antibodi boleh digunakan dalam aktiviti survelan dan kajian epidemiologi,” katanya.


Pengarang :