Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat sekitar Kampung Orang Asli Ulu Batu di Ulu Yam pada 8 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Nilai sumbangan DUN Sungai Tua cecah RM220,580 – MB

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah terkumpul sumbangan yang diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencecah RM220,580.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan disalurkan meliputi barangan keperluan asas termasuk makanan, pelitup muka serta pencuci tangan kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, pusat khidmat DUN berkenaan turut menyediakan sumbangan juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan pada setiap hari sepanjang Ramadan.

“Tahun-tahun sebelum ini, rezeki saya dapat selalu berbuka dengan komuniti di kawasan saya, namun disebabkan ancaman wabak Covid-19 saya gantikan dengan sumbangan makanan untuk masyarakat di sini sambil mendengar perkembangan kehidupan mereka dalam suasana ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, Amirudin berkata Sungai Tua sentiasa dekat di hatinya dan berharap semua masyarakat dapat mengharungi ibadah puasa dengan penuh kesabaran dan keredaan.

Pada 8 Mei lalu, beliau juga sempat melawat dan menyerahkan barangan keperluan asas kepada penduduk di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selayang bagi meringankan beban kewangan selain mengurangkan pergerakan ke kedai runcit semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).


Pengarang :