Anggota penguat kuasa MBSA menyerbu premis perniagaan yang diuruskan warga asing di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 pada 10 Mei 2020. Foto ihsan MBSA
PBTSELANGOR

Operasi tanpa permit, lima premis warga asing diarah tutup

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan lima premis milik warga asing ditutup serta-merta dalam operasi di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata penutupan membabitkan dua kedai runcit, kedai makan (satu), kedai gunting rambut (satu) dan kedai jam (satu) yang diuruskan warga asing tanpa permit.

“Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan, lapan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), tiga kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MBSA) 2007 dan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSA) 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata operasi disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Balai Polis Sri Muda dan Pondok Polis Taman Alam Megah turut membawa kepada penahanan 11 warga asing untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan MBSA.


Pengarang :