AGENDANASIONAL

PKP Bersyarat: Rakyat jangan ambil kesempatan, harus terus waspada

SHAH ALAM, 14 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat jangan mengambil kesempatan atas kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diberikan kerajaan.

Presiden KEADILAN berkata, rakyat tidak boleh berfikiran seolah-olah keadaan sudah seperti sediakala, sebaliknya harus terus berwaspada.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umumkan beberapa kelonggaran, seperti mana biasa saya tidak sangat pertikai keputusan, kebijaksanaan kerajaan hari ini, cuma kita harus ingat keperluan menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jadi rakyat bila ada sedikit kelonggaran ini janganlah ambil kesempatan seolah-olah semuanya sudah seperti sediakala,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.

Kebimbangan itu disuarakan Anwar dengan mengambil contoh negara seperti Korea Selatan, yang melaksanakan program paling cekap, tegas dan teratur namun selepas memberi sedikit kelonggaran, kes baharu bertambah semula.

“Singapura pula yang melakukan keputusan baik dengan melakukan saringan dan ujian Covid-19, jumlahnya (kes) bertambah besar kerana keupayaan melakukan ujian besar-besaran dan Singapura dapat kesan kes dalam kalangan pekerja asing.

“Daripada laporan Kementerian Kesihatan (KKM) ternyata dalam kluster pekerja asing itu peratusan lebih tinggi daripada biasa, maknanya empat atau lima juta pekerja yang belum diuji, itu yang kita tidak tahu, orang asing juga berhubungan dengan masyarakat tempatan.

“Di universiti umpamanya, terkawal tetapi seperti mana kes yang disebut KKM semalam membabitkan pelajar, kemungkinannya berjangkit daripada pekerja atau petugas universiti. Jadi kita harus berwaspada, kita semua harus bersama-sama menjaga keselamatan dan kesihatan diri,” katanya.

Mengulas isu kadar pengangguran meningkat ketika Covid-19, Anwar berkata kerajaan perlu memikirkan kerangka dan langkah bagi memulihkan ekonomi.

“Kerajaan kata akan rancang… kita patut adakan pasukan yang lebih berwibawa dan penyelesaian ekonomi bermula sekarang untuk meringankan beban terutama golongan yang menganggur mencecah ratusan ribu orang dan juga golongan berpendapatan rendah dan pertengahan B40 dan M40 yang tertekan dengan kehidupan susulan Covid-19,” katanya.


Pengarang :