AGENDANASIONAL

PM ucap takziah kematian Koperal Safwan

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Muhyiddin menerusi akaun Facebook menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada kepada keluarga Allahyarham dan PDRM. Saya berharap tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners (barisan hadapan) yang lain dalam menjalankan tugas.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya sambil turut menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

Dalam kejadian 2.11 pagi, Allahyarham Safwan 31, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas di Kajang.

Susulan itu, kenderaan terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :