Dato’ Seri Amirudin Shari melawat lokasi e-dapur di Dewan Terbuka, Padang Awam Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teruskan berniaga secara dalam talian, ubah cara fikir

GOMBAK, 8 MEI: Peniaga e-Bazar Ramadan dan e-Bazar Raya diminta terus mempraktikkan perniagaan dalam talian walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif Platform Selangor (Plats) perlu digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan sumber pendapatan, selain memperkasakan teknik serta strategi perniagaan terbabit.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengimbas kod QR SELangkah ketika melawat tapak e-Dapur di Dewan Terbuka, Padang Awam Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengembangkan Plats sebagai tempat menjual pelbagai barangan, tetapi sama ada usaha ini berjaya atau tidak bergantung sepenuhnya kepada peniaga.

“Adakah peniaga bersedia menjayakannya, jika mahu berjaya peniaga perlu bersedia dengan ilmu perniagaan dalam talian, jadi saya minta peniaga ubah cara berfikir,” katanya selepas mengunjungi lokasi ke-11 e-Dapur di Batu Caves hari ini.

Lokasi e-Dapur lain juga beroperasi di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya,
Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya.

Pada 24 April, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri menyediakan 200 ruang untuk peniaga
menjual juadah berbuka puasa ekoran sekatan pembukaan bazar Ramadan secara fizikal di seluruh negara.

Dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dipilih dengan penghantaran tempahan dikendali syarikat seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Selasa lalu, Kerajaan Negeri melancarkan e-Bazar Raya yang membuka penyertaan kepada 5,000 usahawan tempatan menjana semula ekonomi mereka susulan penularan Covid-19.

Mereka yang berminat menyertai Selangor e-bazar Raya di Shopee boleh mendaftar secara percuma di http://tiny.cc/selangorebazar .

Bagi beli-belah keperluan Ramadan dan Aidilfitri pengguna boleh melayari https://shopee.com.my/m/selangor-E-Bazar-raya .

Terdahulu Dato’ Menteri Besar meluangkan masa menyerahkan Bakul Makanan kepada 1,000 masyarakat Orang Asal di Kampung Ulu Batu.


Pengarang :