AGENDANASIONAL

CIDB: Kontraktor perlu manfaat ujian percuma Covid-19 Perkeso

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa kontraktor di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menghantar pekerja asing mereka untuk menjalani ujian Covid-19 melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

CIDB menerusi kenyataan hari ini berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, ujian Covid-19 diwajibkan untuk semua pekerja asing di semua kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun pekerja asing yang memohon menjalani ujian Covid-19 atau menunggu keputusan ujian, dibenarkan untuk bekerja sementara menunggu giliran untuk diuji atau sehingga keputusan ujian diperoleh dengan syarat mematuhi semua Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” kata CIDB.

Pada 27 April, Perkeso melancarkan Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso yang menawarkan ujian Covid-19 secara percuma kepada pencarum.

Buat masa ini, PSP Perkeso adalah untuk pekerja asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.

CIDB juga berkata pembekal perkhidmatan PSP Perkeso berupaya menjalankan sehingga 15,000 ujian sehari dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari.

“Berdasarkan data Perkeso sehingga kini hanya 31,301 orang pekerja asing meliputi semua sektor telah menjalani ujian Covid-19 melalui PSP Perkeso dan daripada jumlah itu, 40.8 peratus daripada sektor pembinaan.

“Bermula 1 Jun, saringan Covid-19 di bawah PSP Perkeso boleh dilakukan di mana-mana penyedia perkhidmatan (klinik/hospital) yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

CIDB berkata majikan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor boleh membuat tuntutan subsidi daripada Perkeso sebanyak RM150 bagi setiap saringan Covid-19 untuk pekerja mereka yang mencarum.

“Bagi yang masih belum mencarum dengan Perkeso, mereka boleh mendaftar sebelum menjalani ujian saringan tersebut,” katanya.

Pertanyaan lanjut mengenai PSP PERKESO, boleh hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di 03-42645089/03-42645555/1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA


Pengarang :