AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 247 kes baharu, keseluruhan 41,216

SINGAPURA, 17 JUN: Singapura mengesahkan tambahan 247 kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kini pada 41,216 kes.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Kesihatan republik itu berkata majoriti kes baharu tersebut melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama dengan hanya lima jangkitan dalam komuniti, membabitkan dua rakyat tempatan atau pemastautin tetap dan tiga pemegang pas kerja.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Selasa, Singapura mengklasifikasikan 1,801 kes sebagai jangkitan dalam komuniti, 581 kes import dan 38,587 melibatkan pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari Selasa, seramai 31,163 pesakit atau 76 peratus daripada jumlah keseluruhan pada hari berkenaan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti komuniti.

Menurut kementerian itu, terdapat 269 kes yang disahkan di hospital setakat semalam dengan dua dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Selain itu, seramai 9,511 orang yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan diberi rawatan di fasiliti komuniti.

Setakat ini Singapura merekodkan 26 kematian akibat Covid-19.

Tiada kluster baharu dikenal pasti setakat Selasa.

-BERNAMA


Pengarang :