Selangorkini
AGENSI SELANGOR

Inap desa hanya terima pelanggan bermalam

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengusaha inap desa hanya menerima pelanggan yang bermalam sahaja selepas sektor itu dibenarkan kembali beroperasi.

Penyelaras Inap Desa Sungai Haji Dorani berkata ia mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan yang tidak mahu aktiviti tanpa penjarakan sosial dijalankan.

“Pengunjung berkumpulan yang datang untuk aktiviti santai seperti menggagau ikan dan bermain layang-layang tidak dibenarkan. Mereka yang mahu memancing perlu membawa peralatan sendiri,” kata Abdul Rahman Daud kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga terpaksa menghadkan jumlah pelanggan berbanding sebelum ini selain menyediakan keperluan seperti cecair pembasmi kuman sebagai langkah mengelak berlakunya penularan Covid-19.

“Pengunjung perlu mendaftar di MySejahtera selain suhu badan diperiksa. Mereka yang tidak sihat tak dibenarkan masuk,” katanya.

10 Jun lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan lapan sub sektor pelancongan domestik dibenarkan namun mesti mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Pengarang :