Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMI

Kajian dapati PKP tingkat industri guna teknologi, pendigitalan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggalakkan banyak industri untuk memanfaatkan teknologi dengan lebih cepat bagi memastikan kemampanan perniagaan, menurut kajian dijalankan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Dalam kajian mengenai impak Covid-19 ke atas produktiviti, MPC berkata data dikumpul turut mendapati perniagaan memerlukan tempoh enam bulan untuk pulih selepas krisis Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC mengambil beberapa langkah untuk mempercepat pemulihan ekonomi dan membantu pemain industri membina semula perniagaan.

“Antara inisiatif penting yang diambil dan sedang berjalan ialah program membina kapasiti dan keupayaan melalui webinar dan latihan dalam talian, perkhidmatan khidmat nasihat maya perniagaan dan mengkaji peraturan untuk mengurangkan beban yang tidak perlu dalam membina semula perniagaan.

“Usaha masih dijalankan untuk mempercepat dan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi dan pertumbuhan produktiviti berikutan aktiviti perniagaan mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Kajian turut mendapati lebih 70 peratus responden terjejas oleh pandemik tersebut berikutan penguatkuasaan PKP, terutamanya dari segi aliran pendapatan.

-BERNAMA


Pengarang :