Kanak-kanak di Taska Si Comel Perbadanan Putrajaya diajar mematuhi penjarakan sosial ketika bermain atau belajar bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak ketika tinjauan di taska tersebut pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Taska boleh mula operasi, patuhi SOP

PUTRAJAYA, 3 JUN: Taska sudah boleh beroperasi dengan berpandukan kepada Panduan Pencegahan Penularan Covid-19, Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, panduan itu dibentangkan dan mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan (KKM), serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, dan demi kesejahteraan mereka yang terlibat.

Menurutnya, panduan dibangunkan itu meliputi panduan menyeluruh pengoperasian taska, bermula daripada persediaan untuk membuka semula taska, semasa taska beroperasi, dan selepas selesai sesi harian tersebut.

“Pengusaha taska adalah dinasihatkan agar merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan terlebih dahulu, bagi dibuat verifikasi sebelum mula beroperasi,” katanya.

Bagi memastikan agar pengusaha taska mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tersebut, Rina berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan KKM, akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas taska yang telah mula beroperasi.

“Diharapkan dengan pembukaan semula taska ini, dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa berkerja, yang sebelum ini terkesan dengan penutupan taska akibat pandemik Covid-19 dan PKP,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :