Pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP memeriksa stor industri yang disyaki dijadikan tempat untuk memindahkan gas LPG. Foto Facebook KPDNHEP
SELANGOR

KPDNHEP serbu stor pindah LPG, rampas 307 tong

SHAH ALAM, 18 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah stor disyaki menjalankan aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, petang kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata serbuan menemui 103 tong LPG industri seberat 50 kilogram (kg), 14 tong LPG domestik 14 kg dan 190 tong kosong.

“Peralatan memindahkan gas seperti hos, penimbang dan pengepam turut dirampas selain lori lima tan berisi LPG disita. Anggaran keseluruhan bernilai RM72,662,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, empat lelaki berusia antara 24 hingga 35 tahun termasuk seorang lelaki tempatan yang mengaku pemilik premis turut ditahan untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah selain kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Pengarang :