Sebuah restoran di Seksyen 19, Shah Alam diarah tutup serta-merta akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dalam Operasi Pemantauan Kedai Makan dan Restoran oleh MBSA bersama polis pada 2 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Langgar SOP, sembilan kedai makan di Shah Alam ditutup serta-merta

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebanyak sembilan premis makanan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarah tutup serta-merta hari ini kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata sebanyak 48 kompaun turut dikeluarkan dalam Operasi Pemantauan Kedai Makan dan Restoran membabitkan 74 premis termasuk dua penjaja.

“Kebanyakan premis membuat penjarakan sosial dan sediakan buku log untuk pendaftaran tetapi apabila pelanggan masuk dan duduk beramai-ramai, pemilik jarang menegur,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi SelangorKini.

Antara kesalahan dikesan ialah tidak menjaga kebersihan kedai, tidak menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta tiada tanda penjarakan sosial.

Operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam disertai 117 penguat kuasa selepas MBSA menerima aduan awam.


Pengarang :