Urusan jual beli dilakukan secara pandu lalu di Pasar Agro Selangor menjelang Aidilfitri di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pasar pagi, pasar malam mula operasi 15 Jun, ikut SOP

SHAH ALAM, 12 JUN: Operasi pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Selangor dibuka secara berperingkat di lokasi terpilih mulai 15 Jun ini mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT), kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri bersetuju pengurusan dan kawalan perniagaan itu ditentukan pihak PBT mengikut kesesuaian kawasan dengan merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, pasar pagi, pasar tani dan pasar terbuka dibenarkan beroperasi dari 6 hingga 11 pagi, pasar malam (4 petang-10 malam) dan bazaria (5 petang-12 malam)

“Peniaga dilarang menggunakan khidmat warga asing, jumlah peniaga termasuk pembantu terhad kepada tiga orang sahaja. Laluan keluar masuk akan disusun mengikut kedudukan tapak lokasi dan mempunyai beberapa laluan.

“Hanya dibenarkan dua individu dalam satu keluarga masuk ke kawasan pasar dan berusia 13 tahun ke atas. Tiada had masa namun pengunjung digalakkan beredar selepas selesai membeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sze Han, aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) juga dilaksanakan di setiap lokasi bagi memudahkan penjejakan kontak.

Katanya, pihak PBT akan menutup operasi perniagaan atau mengenakan tindakan penguatkuasaan sekiranya melanggar SOP.

“Semua harus patuh SOP dan mengamalkan pelitup muka, mematuhi penjarakan sosial dan kebersihan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.


Pengarang :