ADNSELANGOR

Pasar Peduli Rakyat DUN Taman Templer bantu ringan beban

SHAH ALAM, 15 JUN: Pasar Peduli Rakyat 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer bakal diadakan dua kali sebulan bagi membantu meringankan beban rakyat, kata ahli dewan negerinya.

Sany Hamzan berkata pasar itu diadakan di beberapa kawasan perumahan kos rendah dan sederhana melibatkan jualan hanya RM5 bagi empat barangan asas iaitu minyak, tepung, gula dan serbuk teh.

Katanya sasaran pembeli adalah dalam kalangan pengundi DUN itu termasuk warga emas, asnaf, orang kelainan upaya dan individu hilang pekerjaan.

“Program ini bertujuan meringankan beban golongan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada dalam kalangan mereka terputus bekalan makanan terutama yang bekerja sendiri dan mengharapkan gaji harian,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer berjaya menjual 200 pek barangan keperluan asas itu di Pangsapuri Julia.


Pengarang :