Pemain bola sepak Selangor giat menjalani latihan pertama kali dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 di Padang SUK, Shah Alam pada 22 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SUKANKINI

Red Giants gembira mulakan sesi latihan, kekal patuh SOP

SHAH ALAM, 24 JUN: Pasukan Selangor gembira apabila dapat memulakan kembali latihan bola sepak di padang sejak 16 Jun lalu walaupun tanpa sesi sentuhan badan.

Jurulatihnya B Sathianathan berkata Red Giants memulakan latihan secara dua sesi dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain kerana masih kekalkan berat badan malah ada pemain yang datang dengan otot lebih besar kerana mengamalkan latihan kekuatan.

“Kita akan beri fokus kepada latihan ketahanan kerana untuk permulaan adalah memperkemaskan hantaran dan kawalan bola bermula esok,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pemain Bola Sepak Selangor giat menjalani latihan pertama kali dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 di Padang SUK, Shah Alam pada 22 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau memaklumkan semua pemainnya bebas daripada kecederaan untuk memulakan latihan kecuali tiga pemain iaitu Ifedayo Olusegun dan Safuwan Baharudin yang berada di negara masing-masing sementara Khyril Muhymeen diberikan cuti khas kerana baru mendapat cahaya mata.

Katanya semua pasukan kini menunggu kebenaran untuk sesi latihan yang membenarkan aksi bersentuhan untuk memantapkan tektikal permainan.

Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia percaya Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan akan membuat pertimbangan sewajarnya untuk membenarkan semula sesi latihan bersentuhan dalam masa terdekat.


Pengarang :