Ng Sze Han melakukan imbasan kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum masuk ke tapak Pasar Pagi MPSJ pada 16 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor laksana kempen BELI, elak kluster pasar

PUCHONG, 16 JUN: Kerajaan Selangor melaksanakan kempen BELI kepada orang awam yang membeli barang keperluan di pasar pagi, pasar malam atau bazaria, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata kempen akan diuar-uarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak pembukaan semula sektor itu menimbulkan kluster baharu penularan Covid-19.

“B ialah beratur dan amalkan penjarakan sosial, E ialah penggunaan e-dompet, L lajukan proses pembelian dan I imbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” katanya ketika ditemui selepas meninjau pasar pagi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Sze Han berkata, pengunjung pasar harus akur dengan tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak ambil mudah demi keselamatan semua.

Bermula semalam, sebanyak 417 pasar dibuka seluruh Selangor secara berperingkat mengikut ketetapan PBT masing-masing dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara.

Pasar sekitar Shah Alam, Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor dibenarkan beroperasi bermula semalam manakala sekitar Subang Jaya pada hari ini.

Kawasan Selayang bermula esok, dan Ampang Jaya (18 Jun). Pasar sekitar Kajang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam (19 Jun) manakala Petaling Jaya dan Sepang (20 Jun).


Pengarang :