Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah Jasin, Melaka Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid ketika pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumahnya di Taman Bukit Setongkol pada 2 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada arahan guru bertugas, sekolah masih tutup

SHAH ALAM, 3 JUN: Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk guru kembali bertugas dan setakat ini sesi persekolahan masih belum dibuka, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini arahan ke sekolah untuk bertugas hanya melibatkan anggota khidmat pengurusan seperti kerani kerana termasuk dalam senarai kakitangan awam.

“Tetapi jika guru secara sukarela nak ke sekolah untuk membantu guru besar dan sebagainya itu bukan arahan daripada Kementerian pendidikan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial terdapat arahan daripada pengetua dan guru besar supaya guru kembali bertugas kerana semua pejabat kerajaan dibuka bermula pada 4 Mei lalu termasuk premis sekolah.

Setakat ini sesi pembelajaran di semua sekolah seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.


Pengarang :