AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiga perkara utama bina daya tahan kewangan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: HSBC Bank Malaysia Bhd menasihati rakyat agar peka dengan aliran tunai, membina nilai aset dan tidak melupakan kepentingan kesihatan dalam membangunkan daya tahan kewangan mereka.

Bank itu dalam satu kenyataan menekankan kepada kepentingan untuk menjejak pola perbelanjaan dengan merancang bajet perbelanjaan seperti ‘perbelanjaan minimum’ bulan atau minggu, membuat keputusan secara berhemat mengenai barangan mewah atau tambahan yang mampu dibeli dan memperuntukkan yang selebihnya bagi tabungan atau pembayaran semula hutang serta membuat penyemakan kewangan.

Keduanya, ia menggalakkan orang ramai untuk membina nilai aset dengan mengenal pasti hutang dan menggunakan aset mereka.

“Hutang boleh memberi kesan yang menjejaskan dalam pasaran yang tidak menentu. Jika anda mempunyai pembayaran bulanan, cuba optimumkan portfolio hutang anda dengan membayar hutang dengan faedah tertinggi terlebih dahulu.

“Secara umumnya, aset anda boleh menyediakan aliran pendapatan kukuh seperti sewa hartanah atau membantu mengurangkan aliran keluar tunai seperti penjimatan dalam sewa rumah. Aset boleh menyediakan fleksibiliti tinggi terutamanya dalam tempoh krisis,” kata bank itu.

Akhir sekali, HSBC berkata orang ramai perlu memastikan mereka mempunyai perlindungan insurans hayat yang mencukupi bagi mengekalkan kualiti hidup yang baik bagi tanggungan mereka atau melindungi liabiliti pada masa depan.

-BERNAMA


Pengarang :