EXCOPENDIDIKANSELANGOR

UiTM sedia geran RM3.55 juta, perkasa penyelidikan

SHAH ALAM, 19 JUN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan geran berjumlah RM3.55 juta untuk memperkasa dan melonjak prestasi penyelidikan berimpak tinggi khusus bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat susulan kesan pandemik Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata penyediaan geran itu bertujuan memberi galakan kepada warga universiti supaya lebih aktif melakukan penyelidikan berimpak tinggi bagi membantu negara menyelesaikan masalah kemasyarakatan.

“Geran ini juga bertujuan untuk mengenal pasti potensi penyelidik yang berkualiti dan berprofil tinggi serta penyelidik pelawat, terutama bagi mereka yang baru menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dan pascakedoktoran.

“Penyediaan geran melalui Dana Kecemerlangan Pendidikan dan Tabung Endowmen ini antara inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM 2025 dalam merancakkan budaya penyelidikan translasional yang dapat memberi manfaat kepada pihak industri, masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Azraai, insentif yang disediakan menerusi geran itu juga adalah berdasarkan situasi semasa supaya para akademik menggunakan ilmu serta kepakaran mereka untuk menangani isu kemasyarakatan dan negara, terutama berkaitan wabak Covid-19.

Menurutnya geran hasil sumbangan alumni serta kakitangan UiTM dan sektor korporat itu juga akan memberi tumpuan kepada bidang tujahan penyelidikan yang berkaitan kesihatan dan kesejahteraan, kreativiti sosial dan inovasi, teknologi siber serta tenaga dan alam sekitar di universiti berkenaan.

Mohd Azraai berkata dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini, para penyelidik dilihat perlu merebut peluang menerusi peruntukan itu yang akan dibuka permohonannya pada bulan depan untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dan bekas penyelia mereka di luar negara bagi mencapai visi geran berkenaan.

Tambahnya, UiTM juga menggalakkan para penyelidiknya yang berlatar belakang pendidikan dari luar negara supaya mengadakan kerjasama penyelidikan dengan bekas penyelia supaya ia dapat memberikan impak dan reputasi baik kepada kedua-dua institusi pendidikan.

– BERNAMA


Pengarang :