BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Unisel IPT pertama miliki internet pantas sehingga 1.2 Gbps

SHAH ALAM, 11 JUN: Warga Universiti Selangor (Unisel) bakal menikmati akses internet lebih pantas apabila kelajuan jalur lebar di institusi itu dinaik taraf kepada 1.2 gigabait sesaat (Gbps) bermula tahun ini.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata usaha penambahbaikan menerusi projek transformasi itu merupakan peningkatan 200 megabait sesaat (Mbps) berbanding kapasiti sedia ada tahun lalu.

“Kampus Bestari Jaya menawarkan 10 Mbps kelajuan internet kepada setiap individu manakala capaian kepantasan sehingga 40 Mbps untuk setiap individu di kampus Shah Alam.

Unisel giat melaksanakan naik taraf akses internet bagi mempertingkatkan kelajuan bermula tahun ini. FOTO: Unisel

“Kelajuan ini terpantas jika dibandingkan beberapa universiti awam dan swasta lain di Malaysia khususnya luar kawasan bandar malah menampung hampir keseluruhan kawasan kampus sama ada ruang akademik, kafetaria mahupun penempatan pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Unisel adalah universiti pertama milik Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat tercanggih bagi membantu memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran antara penuntut serta pensyarah.

“Tidak sempurna infrastruktur sesebuah universiti sekiranya tiada kemudahan teknologi maklumat yang lengkap disediakan kepada pelajar dan pensyarahnya.

“Perubahan dari aspek pengajaran dan pembelajaran yang kini lebih bergantung kepada keupayaan internet juga menjadi penyumbang utama mengapa kemudahan ini menjadi faktor utama Unisel menjadi pilihan pelajar masa kini,” katanya.


Pengarang :