AGENDANASIONAL

Waspada sindiket tipu guna nama LHDN kembali aktif

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini mengingatkan orang ramai agar berwaspada berikutan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDN kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Dalam kenyataannya, LHDN berkata antara modus operandi sindiket ialah memaklumkan kepada mangsa ada tunggakan cukai dan mangsa dikehendaki membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDN bagi menjelaskan tunggakan itu.

“Selain itu, mangsa juga menerima panggilan memaklumkan dia terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Ada juga segelintir mangsa dihubungi sindiket menyamar pegawai polis memaklumkan mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi palsu Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan penyiasatan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, sindiket menghubungi mangsa menerusi talian telefon mirip nombor telefon LHDN menggunakan teknik “spoofing”.

Orang ramai turut dinasihati agar menyemak panggilan, mesej, e-mel atau surat meragukan daripada LHDN dengan menghubungi Hasil Care Line di 03-89111000/ 603-89111100 (luar negara), Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM berdekatan.

“Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel meragukan, pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN, jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta pemanggil yang tidak dikenali, jangan buat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali serta semak nombor telefon LHDN di portal rasmi LHDN,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :