AGENDANASIONAL

Barangan dikhuatiri tiruan, waspada berbelanja di laman sosial

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpedaya ketika membeli barangan dikhuatiri tiruan menerusi laman sosial atau premis tetap.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan pemilik cap dagangan supaya aktiviti penjualan barangan berkaitan dapat dibanteras.

“Kita ingin memberikan amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak menjalankan urus niaga melibatkan barangan tiruan kerana KPDNHEP sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan.

KPDNHEP Selangor merampas 52 unit barangan berjenama disyaki tiruaan dianggarkan berjumlah RM16,800 di sebuah premis kediaman di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Op Tiru melibatkan lapan anggota penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagangan terbabit menemui barangan seperti beg, dompet, jam tangan, kasut dan tali pinggang jenama Louis Vuitton (LV) dan Gucci selain menahan seorang individu bagi membantu siasatan.

Muhamad Zikril Azan berkata maklumat awal mendapati barangan diperoleh daripada China dan dipasarkan secara dalam talian melalui laman sosial Instagram dikatakan mempunyai pengikut lebih 13,000 orang.

“Lingkungan harga jualan adalah di antara RM100 ke RM1,000 mengikut jenis barangan dan kualitinya. Siasatan lanjut akan dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.


Pengarang :