Ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 9 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bayaran sewa dua pusat beli-belah PKNS dilanjut hingga September

SHAH ALAM, 10 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menangguhkan bayaran sewa dua bulan di dua pusat beli-belahnya sehingga September bagi meringankan beban peniaga susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Penangguhan bayaran bagi Mei dan Jun memanfaatkan kira-kira 500 peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall, yang sebelum ini diberikan rebat sewa 50 peratus pada Mac dan April.

Syahril Mohd Rashid. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita berbesar hati membuat penangguhan bagi membolehkan peniaga mengatur semula kedudukan kewangan perniagaan masing-masing serta mengubah strategi (perniagaan) dalam norma baharu,” kata Pemangku Pengurus Pusatnya Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata PREC memberi diskaun 30 peratus untuk sewa Mei manakala bayaran penuh dikenakan pada Jun.

“Majoriti peniaga menyambut baik pemberian diskaun namun pandemik Covid-19 menyebabkan semua pihak terkesan termasuk kami (PREC) yang bertanggungjawab menguruskan pusat beli-belah,” katanya lagi.

Pada masa sama, Syahril menafikan dakwaan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana berhubung kenaikan sewa premis niaganya antara 20 hingga 30 peratus.

Sebaliknya, beliau berkata kenaikan lima hingga 15 peratus hanya dikenakan untuk tempoh sewaan antara dua hingga tiga tahun.

“Setelah pandemik Covid-19 melanda, kita lebih fleksibel dalam keadaan ini dan berbincang dengan peniaga isu kenaikan (sewa). Ada (peniaga) yang memohon penangguhan, maka kita bersedia untuk beri kerjasama dan mendengar permasalahan mereka,” jelasnya.


Pengarang :