Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19 catat lima kes baharu, kematian kekal 121

SHAH ALAM, 6 JULAI: Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini kekal lima seperti semalam membabitkan tiga kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua membabitkan rakyat Malaysia, satu pemastautin tetap manakala selebihnya penularan tempatan.

“Dua kes penularan dalam negara membabitkan satu kes bukan warganegara iaitu saringan dalam komuniti oleh pejabat kesihatan daerah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Satu kes positif lagi direkodkan di Selangor membabitkan warganegara iaitu saringan kontak rapat yang merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8,649,” kata ketua pengarah kesihatan ketika sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata seramai 11 pesakit lagi berjaya sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,476 kes atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Dr Noor Hisham berkata dua kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 121 orang.

Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 8,668 kes dengan 71 kes aktif kebolehjangkitan.


Pengarang :