Ratu boling negara Shalin Zulkifli memulakan latihan penuh selepas menjalani ujian calitan Covid-19 ketika tinjauan di Sunway Mega Lanes pada 9 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia batal

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) membuat keputusan membatalkan kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-41 susulan situasi semasa penularan COVID-19 di negara ini.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata mereka bersetuju membatalkan kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung pada November atas sebab mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua atlet boling.

“Ia tidak sepadan risiko menjadi tuan rumah satu acara antarabangsa secara besar-besaran ketika keadaan pandemik ini masih tidak menunjukkan pengurangan.

“Walaupun atlet boling negara rasa amat kecewa, saya rasa ia adalah perkara wajar dilakukan, dan semua perlu bersama-sama untuk melawan pandemik ini dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan serta menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun Terbuka Malaysia dibatalkan, atlet kebangsaan akan mengambil bahagian dalam kejohanan bulanan, bermula hujung Ogos bagi mengekalkan prestasi atlet negara sebelum bertanding dalam kejohanan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Chok berkata beberapa kejohanan antarabangsa yang akan diadakan di Malaysia masih mengikut jadual, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan untuk membuka sempadan negara kepada pelawat.

Menurutnya, Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) memohon kepada Persekutuan Boling Asia untuk menganjurkan Kejohanan Terbuka Antarabangsa Sarawak pada 25-29 Nov, iaitu sama dengan tarikh penganjuran Terbuka Antarabangsa Malaysia.

Dua lagi kejohanan antarabangsa adalah Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Pesta Pulau Pinang ke-48 pada 10-19 Dis dan Storm Under 22 International Junior All Star pada 18-23 Dis di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid.

– BERNAMA


Pengarang :