Dato’ Seri Amirudin Shari melawat ruang pameran bersama Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim dan EXCO Kerajaan Negeri Ng Sze Han pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035 di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada 27 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekonomi tetap bergerak jika PKP dilaksana semula – MB

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sektor ekonomi di Selangor tetap bergerak jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana semula memandangkan kemudahan internet meluas di kawasan bandar utama.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun berkata tindakan memutuskan rantaian Covid-19 tetap memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi.

“Kita beruntung kerana Selangor ada kemudahan infrastruktur seperti jaringan internet meluas.

“Kita dah buktikan ekonomi tetap bergerak pada PKP sebelum ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKP berkuat kuasa 18 Mac lalu yang melarang aktiviti ekonomi serta sosial kecuali bagi perkhidmatan penting.

Semua sektor dibuka secara berperingkat mulai 4 Mei dengan pelaksanaan PKP Bersyarat disusuli PKP Pemulihan pada 10 Jun.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penutupan semula sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari.


Pengarang :