Pengetua Tadika Big Apple Cawangan Kinta Riverfront, Rohani Hasshim (tengah) melakukan aktiviti pembelajaran bersama kanak-kanak di Tadika Big Apple pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu bapa puas hati SOP tadika dibuka semula

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kalangan ibu bapa berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) disediakan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) selepas kembali beroperasi hari ini.

Lebih melegakan emosi anak-anak juga terkawal selepas bercuti panjang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Nurul Aida Mohd Jamel Zabidi, 33, dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkata beliau berasa lega dengan perkembangan itu dan kanak-kanak juga memberikan kerjasama baik serta mengikut arahan guru terutama penjarakan sosial.

“Saya yakin mereka boleh faham dan mudah patuh arahan guru berbanding ibu bapa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata anaknya berusia enam tahun juga bersemangat kembali ke tadika untuk bertemu kawan-kawan kerana sebelum ini tidak dapat memberi tumpuan pembelajaran secara dalam talian.

Pandangan sama diberikan Ainol Salwa Jumahat, 35, yang memberitahu ibu bapa turut dimaklumkan mengenai beberapa panduan SOP terutama ketika menghantar anak ke taman didikan itu.

Menurutnya, amalan pemeriksaan suhu dan membasuh tangan menggunakan sabun turut dipraktikkan ketika masuk dan keluar dari kelas.

“Meja murid dijarakkan dan perkembangan sesi pembelajaran turut dimaklumkan kepada ibu bapa menerusi WhatsApp. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan SOP dilakukan pihak pengurusan tadika,” katanya yang tinggal di Taman Kinrara, Puchong.

Bagi Muhamad Aidi Mahadi, 35, dua anaknya berusia empat dan lima tahun gembira untuk kembali ke tadika di Seksyen 7, Shah Alam untuk bertemu guru serta kawan-kawan.

“Saya yakin pihak pengurusan akan memastikan SOP disediakan akan dipatuhi ibu bapa, anak-anak dan guru sendiri,” katanya yang masih bekerja dari rumah.


Pengarang :