EXCO Kerajaan Negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud ketika perbahasan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kes keganasan rumah tangga meningkat ketika PKP

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak 90 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kota Anggerik mencatatkan rekod kes tertinggi iaitu 10, diikuti Bukit Gasing (7) dan Bukit Lanjan (4).

“Kes keganasan rumah tangga di negeri ini didapati meningkat ketika tempoh PKP iaitu Mac ke April berbanding tempoh sebelumnya.

“Malah jumlah panggilan talian khas bantuan keganasan yang dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) juga meningkat iaitu sebanyak 266 panggilan dicatat pada Januari, Februari (250), Mac (361) dan April meningkat ketara kepada 898,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Elizabeth Wong (PAKATAN-Bukit Lanjan) pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mariah yang juga EXCO kebajikan mengingatkan supaya wanita tahu hak masing-masing sekiranya terus dikasari pasangan.

“Ini kerana keganasan rumah tangga adalah masalah mental suami, jadi semua perlu peka dan mainkan peranan untuk membanteras penyakit ini,” katanya.


Pengarang :