Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 26 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster baharu Covid-19 dikesan di Melaka, babit tiga kes

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu di Melaka dikenali sebagai ‘Kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod’ yang kini menjangkiti tiga individu.

Ketua pengarah kesihatan berkata ia dikesan apabila terdapat kes ketiga positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua kluster terbabit.

“Kes pertama bagi kluster ini seorang warganegara Malaysia, iaitu kes ke 8,673 yang baharu pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai lalu.

“Keputusan saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati beliau positif virus berkenaan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes kedua pula adalah kes ke 8,718 iaitu rakan kepada kes pertama dengan mereka menaiki pesawat sama pada 5 Julai lalu.

“Hasil saringan ke atas kes kedua ini negatif namun beliau mula menunjukkan gejala demam dan saluran pernafasan dua hari kemudian. Saringan ulangan mendapati beliau positif Covid-19,” katanya.


Pengarang :