AGENDAEKONOMI

Minat belian hartanah meningkat kepada 53 peratus separuh kedua 2020

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Minat pembelian hartanah pada separuh kedua 2020 meningkat kepada 53 peratus daripada 47 peratus pada separuh pertama, bergantung pada lokasi, kemudahan dan permintaan dan penawaran, serta tertakluk kepada harga dan pergerakan pasaran, menurut kajian PropertyGuru.

Pengurus Negara bagi Malaysia, Sheldon Fernandez berkata walaupun lebih ramai rakyat Malaysia mengatakan niat untuk membeli hartanah selepas Covid-19, namun bakal pembeli terutama pelabur cenderung menangguhkan keputusan pembelian mereka bagi jangka pendek.

“Ada faktor yang jelas bagi pelabur dalam pasaran baharu terutama syarat sesuai dengan mereka, yang merangkumi kadar faedah rendah, potongan dan pengecualian duti setem yang mereka boleh nikmati menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sedang berlangsung sekarang sehingga separuh pertama 2021,” katanya kepada Bernama dalam wawancara secara maya.

Beliau berkata bagaimanapun berikutan ketidaktentuan pasaran yang tinggi, khususnya ketika krisis Covid-19, sebilangan pelabur memilih pendekatan tunggu dan lihat untuk meneliti bagaimana situasi itu dalam jangka terdekat.

“Oleh itu, walaupun wujud peluang pembelian sehingga separuh pertama tahun depan (dengan HOC berlangsung sehingga 31 Mei, 2021), kita mungkin melihat petunjuk lebih jelas dan kukuh pada 2021,” katanya.

Fernandez berkata berlandaskan pengajaran daripada sekatan pergerakan akibat Covid-19, pembeli hartanah berpotensi kini lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan mereka dan melaksanakan usaha wajar secara teratur.

Kajian itu mendapati 57 peratus akan menangguhkan pembelian hartanah pada 2021 untuk tujuan kediaman sendiri dan pelaburan, sementara 37 peratus mempertimbangkan pembelian dalam tempoh separuh kedua 2020.

Fernandez berkata kajian itu juga mendapati ciri-ciri rumah yang diutamakan rakyat Malaysia ialah pengudaraan yang baik dan pencahayaan semula jadi (63 peratus) dan kepadatan projek yang rendah (61 peratus).

Faktor utama lain juga merangkumi reputasi pemaju dan sambungan Internet berkelajuan tinggi susulan pengamalan bekerja dari rumah.

Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia Separuh Kedua 2020 mengkaji 1,010 responden mengenai hartanah dan isu berkaitan hartanah menerusi soalan kaji selidik dalam talian.

Responden merangkumi profesional, pengurus, eksekutif dan ahli perniagaan (48 peratus) dalam segmen berpendapatan sederhana hingga tinggi (81 peratus).

Sebahagian besar mereka tinggi di Lembah Klang (55 peratus), Johor (lapan peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus), dengan lima peratus berada di negeri-negeri utara (Perak, Kedah dan Perlis) dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) masing-masing.

PropertyGuru Malaysia adalah pasaran hartanah terkemuka di negara ini dan mempunyai pejabat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

-BERNAMA


Pengarang :