BERITA UTAMASELANGOR

Murid tahun enam paling ramai sertai e-pembelajaran

SHAH ALAM, 9 JULAI: Murid tahun enam paling ramai mendaftar di Portal Selangor Tutor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah 10,730, kata pengarah kanan pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata jumlah itu bagi kategori sekolah rendah manakala tingkatan lima dengan pendaftaran 6,349 pelajar menguasai kategori sekolah menengah.

Pengarah Kanan Pendidikan Yayasan Selangor, Zahura Zakry. Foto SELANGORKINI

“Faktor berdepan peperiksaan besar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan ramai yang mendaftar berbanding pelajar lain.

“Secara keseluruhan hanya 33 peratus iaitu 82,279 pelajar negeri ini mengikuti pembelajaran secara maya ini,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Menurut Zahura, masalah peranti serta akses internet menjadi kekangan segelintir murid untuk menyertai program percuma selama dua bulan lebih itu.

“Program bermula April itu sudah ditamatkan pada pertengahan Jun. Ketika ini perbincangan sama ada ia diteruskan atau tidak sedang berjalan,” katanya.

Pada 1 April lalu Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program berkenaan yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.


Pengarang :