AGENDANASIONAL

Patuhi SOP ketika berurusan di pejabat JPJ

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan orang ramai akan ke pejabat agensi itu dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa susulan tawaran diskaun pembayaran saman sebanyak 70 peratus bermula dari 1 hingga 31 Ogos ini.

Sehubungan itu, JPJ mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika berada di pejabat JPJ dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

Antaranya mengamalkan disiplin diri, mematuhi jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan seperti mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Justeru diingatkan agar orang ramai mematuhi segala arahan pegawai bertugas supaya penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dikehendaki,” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini mengumumkan tawaran pengurangan pembayaran saman sebanyak 70 peratus kepada semua saman boleh kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos ini.

– BERNAMA


Pengarang :