Chua Wei Kiat (kanan) menyerahkan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman kepada salah seorang wakil sekolah di Rawang. Foto Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

Penyukat suhu, cecair basmi kuman untuk sekolah dan masjid

SHAH ALAM, 12 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang menghulurkan sumbangan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman kepada sekolah serta masjid di kawasan berkenaan.

Chua Wei Kiat berkata peruntukan RM15,000 digunakan untuk pembelian alat tersebut iaitu termometer digital dan manual serta cecair berkaitan untuk diagihkan dengan sebahagian sekolah sudah menerimanya sejak awal bulan ini.

“Selebihnya kita akan serahkan selepas tempahan diterima dalam tempoh satu atau dua minggu lagi dan berharap peralatan ini dapat membantu petugas hadapan seperti guru, imam dan staf masjid mempercepatkan proses pemeriksaan selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan pematuhan tatacara operasi piawai,” katanya.

Antara sekolah mendapat bantuan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing, SMK Tuanku Abdul Rahman Batu Arang, SMK Tun Perak, SMK Taman Desa 1, SMK Rawang Batu 16 termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Rawang, Taman Pelangi.

Sekolah lain turut tersenarai, SK Bukit Rawang Jaya, SK Sinaran Budi, SK Taman Tun Teja, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk, SJKC Chap Khuan, SJKC Kota Emerald dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rawang, Kuala Garing.

Sementara itu, Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga; Masjid Taman Tun Teja, Masjid Cahaya Iman dan Masjid Jamek, Batu Arang antara yang menerima sumbangan sama.


Pengarang :