Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan usai mesyuarat bersama agensi serta jabatan kerajaan mengenai projek inisatif bersepadu berkaitan menangani penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 22 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tiga lokasi jadi projek rintis tangani masalah dadah di Selangor

SHAH ALAM, 23 JULAI: Tiga kawasan di Selangor dipilih menjadi lokasi bagi projek rintis menangani masalah penyalahgunaan dadah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi terbabit ialah Petaling Jaya Selatan, Bagan Sungai Besar dan Gugusan Felda Hulu Selangor.

“Ini kawasan tumpuan awal untuk kita atasi masalah dadah bukan sahaja kepada penagih tetapi juga pengedar serta semua jaringan dadah.

“Tiga kawasan ini menggunakan format berbeza mengikut kesesuaian kawasan. Jika kaedah ini berjaya kita lakukan perkara sama di kawasan lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Petugas Khas Agensi Kerajaan Negeri Menangani Masalah Dadah Selangor di sini.

Amirudin yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor berkata pemilihan lokasi itu dibuat tahun lalu apabila kawasan tersebut mencatatkan kes penagihan dan penyalahgunaan dadah tertinggi.

“Walaupun Selangor negeri paling bawah mencatatkan kes dadah tertinggi dengan nisbah 200 orang dari 100,000 penduduk kita tetap komited supaya masalah dapat dibendung.

“Usaha ini memerlukan kerjasama semua agensi termasuk belia serta pelajar sekolah,” katanya.


Pengarang :